fbpx
Kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal dinaiki bersama bapanya dilanggar Perodua Alza di Jalan Sanglang, dekat Jerlun malam tadi.

Budak tujuh tahun maut motosikal dirempuh MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERLUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama bapa dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang tiga Jalan Sanglang, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Nur Naziha, 7, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bapanya, Muhammad Hanif Hamdi, 33, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu MPV jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari Alor Setar ke Simpang Ampat, dekat sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan lain dengan nombor pendaftaran tidak pasti didakwa berada di hadapan dan bergerak ke sisi kiri jalan.

“Pemandu Perodua Alza terbabit kemudian mendakwa tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang motosikal jenis Honda EX5 dinaiki dua beranak yang ketika itu berhenti di tengah jalan untuk membelok,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak yang membonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya cedera ringan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI