KUALA LUMPUR – Taburan hujan lebat yang tinggi merupakan punca banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar ibu negara minggu lalu.
Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Jalan Sentul Pasar, Taman Bahagia, Jalan Batu Bata, Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh, Sentul, Kampung Chubadak Dalam, Sentul dan Batu 2, Jalan Ipoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kadar kebiasaan taburan hujan di ibu negara adalah 80 milimeter (mm).
“Tetapi pada minggu lepas, taburan hujan tinggi iaitu 116 mm. Kita menjangkakan taburan hujan akan menjadi lebih tinggi selepas ini iaitu 120mm,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee, di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, Zaliha berkata pihaknya telah melakukan persediaan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir di ibu negara termasuk melaksanakan langkah mitigasi di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’.
Menurutnya, terdapat 15 kawasan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ banjir di sekitar Kuala Lumpur.
“Di kawasan-kawasan ini, kita lakukan beberapa tindakan termasuk meletakkan alat siren apabila paras air meningkat sebagai amaran awal kepada penduduk.
“Kita juga bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain. Ini adalah usaha berterusan yang kita lakukan setiap kali berdepan risiko banjir,” ujarnya.
Zaliha berkata, seramai 370 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut berada dalam mod bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, mengenai perkembangan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Zaliha berkata setakat ini tiada pihak yang menghubunginya berkaitan dengan pampasan atau sebagainya.
Jelasnya, nilai pampasan kepada penduduk terlibat juga akan dinilai melalui proses yang ditetapkan, termasuk saluran perundangan yang ada.
“Dari sudut pampasan dan sebagainya, mereka (penduduk) boleh membawa perkara ini ke mahkamah untuk melihat penilaian yang dibuat,” katanya.- KOSMO! ONLINE














