REMBAU – Seorang pengawal peribadi yang maut ditembak di Jalan Rasah di sini kelmarin, berhati mulia apabila sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan majikannya.
Allahyarham Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43, baru tiga bulan bekerja dengan majikannya dan mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kawalan keselamatan.
Rakan baiknya, Nizam Hashim, 48, menyifatkan Allahyarham Azrul Fariz seorang yang komited dalam kerja.
“Saya kenal dengan arwah sejak 15 tahun lalu. Arwah sangat menjaga prinsipal (majikan) sampai ke titisan darah yang terakhir. Jika ditonton semula video (kejadian) dia mempertahankan sampai terpaksa tumbangkan nyawa sendiri.
“Pekerjaan sebagai bodyguard (pengawal peribadi) orang nampak seperti remeh, tetapi sebenarnya nyawa mereka menjadi taruhan seperti yang berlaku terhadap sahabat saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Rembau di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.53 pagi itu, Azrul Fariz yang parah meninggal dunia pada pukul 12.50 tengah hari ketika menerima rawatan di HTJ. Majikannya berusia 47 tahun cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Nizam meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung kejadian tembak itu yang hangat dibincangkan di media sosial kerana tidak benar dan mengguris hati keluarga Allahyarham.
“Kepada netizen di luar sana, tolong jangan anggap yang bukan-bukan. Ada yang kata bawa dadah itulah…inilah. Kalau tidak tahu cerita sebenar, jangan buat spekulasi macam-macam.
“Arwah bekerja sebagai pengawal peribadi menjaga nyawa orang (majikan), mencari rezeki untuk anak dan isteri,” katanya yang juga seorang bodyguard.
Nizam turut meminta orang ramai memadam atau berhenti menyebar gambar dan video rakannya yang berada di dalam kereta bagi menghormati keluarga Allahyarham. Polis semalam mengesahkan Allahyarham Azrul Fariz tidak mempunyai rekod jenayah.
Lebih menyedihkan, katanya, Allahyarham Azrul Fariz mengambil cuti untuk menghadiri hari anugerah sekolah anaknya yang berusia 12 tahun pada Sabtu ini, namun tidak kesampaian.
“Arwah mempunyai lima anak berusia lapan hingga 21 tahun. Dia tidak memilih kerja walau siapapun majikannya. Kerja kami berisiko tinggi, tetapi arwah hanya fikir hendak mencari rezeki untuk keluarga, tetapi pengakhirannya begini,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan dua lelaki ditembak dengan seorang daripada mereka yang merupakan ‘bodyguard’ maut selepas hampir lima jam menerima rawatan di hospital.














