MACHANG – Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera selepas trak lima tan yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Bukit Belah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, kesemua identiti mangsa termasuk anggota ATM yang maut masih belum dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.51 petang sebelum enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kemalangan.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati nahas itu melibatkan sebuah trak tentera dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Nahas itu membabitkan melibatkan empat anggota tentera dan satu orang awam yang merupakan pemandu kereta tersebut.
“Salah seorang daripada empat anggota tentera itu meninggal dunia di lokasi kemalangan. Pemandu kereta Proton Wira berada dalam keadaan tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Alfarra berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














