IPOH – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM12,000 pada 2022 hingga 2023.
Tertuduh, Kamarul Hairie Elias, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Bagi dua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM4,000 dengan tiada balasan daripada seorang pemilik bot melalui orang tengah secara pindahan atas talian ke dalam akaun milik anak kandungnya yang mana dia mengetahui lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bank Simpanan Nasional (BSN) Berhad di Taman Iskandar Bistari dalam daerah Perak Tengah pada 10 Jan 2023.
Tertuduh turut didakwa bagi enam pertuduhan lain iaitu menerima RM8,000 daripada pemilik Syarikat LGH Maju Trading melalui orang tengah secara pindahan ke dalam akaun bank di lokasi sama pada 7 Julai hingga 10 Dis 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Tampoi, Johor kerana berkhidmat di sana. – KOSMO! ONLINE














