SEBERANG PERAI – Seorang suami bukan sahaja tergamak membunuh isterinya, malah menyimpan mayat wanita itu di dalam bilik rumah mereka selama empat hari di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini.
Kejadian pembunuhan tragis itu terbongkar selepas suspek yang berusia 28 tahun tampil menyerah diri di balai polis berhampiran hari ini.
Difahamkan, sepanjang tempoh itu, suspek yang menganggur tinggal bersama mayat isterinya di dalam rumah tersebut.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis yang pergi ke lokasi kejadian menjumpai mayat mangsa berusia 44 tahun dengan kesan kecederaan pada leher dipercayai akibat dikelar dengan menggunakan senjata tajam.
Suspek yang dikatakan mempunyai rekod jenayah lampau turut dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Kosmo! difahamkan, mangsa yang merupakan janda anak lima sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan suspek tidak sampai tiga tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memberitahu, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -KOSMO! ONLINE














