JOHOR BAHRU – Dua wanita warga Filipina masing-masing dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu, awal bulan ini.
Tertuduh, Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Menurut kertas pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat pembersihan di pusat membeli-belah didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu berbeza tanpa sebarang kuasa yang sah.
Janida yang bekerja sebagai pekerja pembersihan pula turut didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai identiti dirinya.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, kira-kira pukul 7 malam pada 8 Disember lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Noor Aliah Yaacob, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Norasyikin Md Jabarulla.
Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh membayar denda RM5,000, dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjara enam bulan.-KOSMO! ONLINE














