ANJURKANLAH berulang kali pun, kemunculan Wings di mana-mana pentas pasti dibanjiri peminat yang seakan-akan ketagih untuk tidak terkecuali daripada persembahan ‘live’ band ikonik itu.
Semuanya larut bagai ‘lena diulit intan’ apabila berpeluang menyaksikan gergasi rock kesayangan ramai itu muncul di depan mata mendendangkan bait untaian dari era album Belenggu Irama terbitan 1987 hingga katalog terkini.
Sudah pasti Konsert Wings 40 Tahun sempena empat dekad band ‘kelahiran’ Gombak pada 1985 itu tidak dilepaskan peminat tegar yang setia menjadi sebahagian sejarah gahnya mereka.
Kemunculan di Idea Live Arena Damansara pada hujung minggu lalu bukan sekadar keraian hayat pejuang rock, bahkan sebagai simbolisme Wings kekuatan hingga mampu membelah ‘kosmos’.
Satu persatu untaian termasuk sentuhan komposer yang sinonim dengan mereka, Datuk M. Nasir dan JS Kevin berkumandang di gelanggang memuatkan hampir 5,000 penonton.
Biar berulang kali seleksi sama diperdengarkan, khalayak seperti tidak jemu menikmati setiap bait seni kata seolah-olah seperti dipukau mendengar vokalisnya, Datuk Awie berdendang.
Entah dari mana datangnya energi sang penyanyi, seawal detik pentas dibuka dengan Jerangkung Dalam Almari sehingga minit ke-40 beraksi, beliau tidak berhenti menghiburkan bagai tiada lelah.
Pada usia mencecah 57 tahun 24 November lalu, ‘standing ovation’ wajar diberikan kepadanya apabila tetap mampu melontarkan vokal dengan jitu walau kebanyakan lagu bernota tinggi.
Pujian harus dilayangkan buat tunjang utama band, Syam serta Edrie selaku gitaris utama, drummer daripada Dragon Malaya, Pae serta pemain gitar bes, Ilham Ishak.
Tepat pukul 8.30 malam, peminat bagai diheret ke terowong masa era 1980-an sebaik Inspirasi Taming Sari, Sekeping Kertas Bermaruah serta Kota Kemusnahan pula diperdengarkan.
Tanpa celoteh, Awie yang sudah empat dekad menghiburkan khalayak membuai perasaan peminat bersama lagu Ingatkan Dia disusuli Tirai Horizon dan Bazooka Penaka.
Malah kelainan pada malam itu adalah penampilannya bersama kumpulan vokal harmoni, deVokalis UPSI Choir dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Meramas emosi
Penonton seakan-akan tidak senang duduk sebaik Taman Rashidah Utama, Opera Hidup, Bujang Senang selain Perhentian yang digubah berkumandang. Hanya berhenti seketika untuk meneguk air, Awie menyerlahkan keunggulannya berada di posisi teratas ikon rock negara apabila satu persatu dendangan ‘dikunyah’ selamba.
Menyatakan mahu melengkapkan 40 lagu sempena angka empat dekad hidupnya Wings, Potret Monalisa, Aku Pun Tahu Di Ampang Wati, Intanku Kesepian serta Suara Kita terasa begitu menggoncang emosi.
Momentum persembahan terus memuncak dengan Pentas Opera dan Rantai serta seleksi ‘nakal’ berbau funky iaitu Awang Thrasher, Midnight Blues dan Peronda Jaket Biru.
Segmen paling mencuri tumpuan tentunya acara memotong kek bersulam kiasan Awie, bahawa seperti pasukan bola sepak Manchester United, biar ahli keluar masuk, namun kekal unggul.
Metafora terhadap situasi berlaku beberapa minggu sebelum konsert itu direalisasikan menerusi ucapannya, ketiadaan ‘mereka yang telah pergi’ tidak mematahkan sayap Wings.
Seterusnya, Hukum Karma, Lipas Kudung, Kau Bukan Brader, Harapan, Mabuk 7 Lautan dan Biarkan Berlalu yang dikompilasikan sebagai penutup tirai tepat memuncakkan panggung dengan maksud tersirat.
Sebelum itu, semangat kenegaraan dikongsikan menerusi lagu Puisi Merdeka selain sebuah lagi dedikasi khas buat rakyat Palestin yang menjadi rutin setiap kali konsert. Kali ini Wings memilih lagu Entah Kiri Entah Kanan.
Tempoh tiga jam berada dalam perut Idea Live Arena bukan hanya memberi kepuasan maksima buat khalayak, bahkan merakam sejarah buat band tersohor itu sendiri.
Seperti lirik berbunyi semakin dekat semakin jauh, semakin hampir sampai penamat hilang, moga Wings terus berkepak walau halangan mendatang.














