KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas yang bertarung nyawa sejak empat hari lalu akibat cedera parah dalam kemalangan langgar lari di Jalan Kubang Jela, Manir, di sini pada Sabtu lalu meninggal dunia hari ini.
Mangsa, Ibrahim @ Abdul Rahman Abdullah, 79, yang cedera parah pada bahagian kepala menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 8.37 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati Ibrahim yang berbasikal dilanggar oleh sebuah kenderaan masih belum dikenalpasti pada pukul 6.40 pagi, Sabtu lalu.
“Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Pasar Manir dari rumahnya di Kampung Banggol Donas di sini.
“Basikal yang ditunggangnya di laluan kiri jalan dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, ahli keluarga mangsa hanya membuat laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 3.33 petang semalam. – KOSMO! ONLINE














