fbpx
PENAMPILAN terkini Jojet (gambar kiri), nampak sihat dan ceria dengan rutin hidup di Rumah Sahabat.

Terima kasih masih ingat, hargai bakat saya – Jojet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH terjebak dengan bahan terlarang bukan bermakna peluang untuk berubah sudah bernoktah. Ruang dan peluang sentiasa terbuka luas buat sesiapa sahaja asalkan ada kesungguhan.

Sama juga situasi dilalui pemain dram terkenal yang pernah bersama kumpulan Gersang dan Wings satu ketika dahulu, Jojet.

Melewati usia 50-an, lelaki yang sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian, Rumah Sahabat, Hulu Langat itu mengakui, penyalahgunaan bahan terlarang memberi impak kuat kepada hidupnya.

Jojet atau nama sebenar, Rodzane Mohamed, 57, berkata, rutin kehidupan hariannya di pusat pemulihan sejak beberapa tahun lalu perlahan-lahan membentuk pemikiran dan kesedaran untuk menjadi individu lebih baik selain membantunya menjauhi perkara negatif.

“Sebenarnya pihak Rumah Sahabat tahu latar belakang yang pernah terjebak dadah. 

“Di sana, setiap program disusun dengan sangat teratur. Ada kelas mengaji dan kami diajar pendidikan agama sebagai bekalan dunia dan akhirat,” katanya ditemui pada sidang media penganjuran acara Rock Legend, baru-baru ini.

Peluang yang diperoleh ibarat rahmat untuk memperbaiki diri dan kembali membina kehidupan lebih baik.

“Kalau tidak diperbetulkan, kita bimbang akan terbabas lagi. Kesilapan yang berlaku sudah cukup memberi pengajaran.

“Bila Tuhan beri peluang untuk kembali normal, tetapi kita selalu lupa tak ingat dunia, akhirat,  jodoh, ajal dan maut, itu sesuatu yang menakutkan,” katanya.

Jojet sebenarnya sangat bersyukur kerana masih dikelilingi insan yang sentiasa memberi semangat untuk terus berkarya dalam industri muzik tanah air.

“Saya cuba dan insya-Allah akan terus berusaha menjadi lebih baik. 

“Saya tidak boleh cuai atau letakkan diri jauh daripada lingkungan kebaikan yang Allah SWT sudah aturkan ini,” jelasnya.

Bercerita lanjut tentang rutin hidup sepanjang berada di pusat pemulihan, dia berkata banyak yang dipelajari termasuk berasakan seperti memiliki sebuah keluarga baharu.

Berada bawah jagaan dan pengurusan Halim, juga seorang pemuzik, Jojet dibimbing untuk kembali aktif dalam muzik.

“Pelbagai pengalaman dan kebaikan yang saya dapat sepanjang berada di Rumah Sahabat. Kalau berada di luar, mungkin kita rasa nak bebas dan lari ke dunia luar.

“Tetapi di Rumah Sahabat, rasa memiliki sebuah keluarga baharu.

“Saya juga bertuah kerana dapat pulang setiap hujung minggu kerana Halim (pengurus) akan datang jemput setiap Jumaat dan saya balik ke rumahnya dan berlatih muzik,” kongsinya.

Kongsi Jojet, sepanjang berada di Rumah Sahabat, dia turut bergelar penyanyi nasyid selain menyertai pertandingan antara rumah perlindungan asnaf serta pusat pemulihan lain.

“Alhamdulillah, saya bersama anggota kumpulan dari Rumah Sahabat baru sahaja memenangi tempat pertama nasyid.

“Baru-baru ini kami ada pertandingan nasyid antara tujuh rumah asnaf dan rumah kebajikan lain yang dijaga pelbagai pihak,” kongsinya.

Rasa dihargai

Dalam perkembangan lain, Jojet akan menjayakan showcase Rock Legends Live At Saloma Kuala Lumpur bersama kumpulan Gersang (Man Bai, Kid, Acis dan Man Greng), vokalis Blues Gang, Ito, Yantzen, Rahmat Mega, Azlan Typewriter dan Mel.

Pentas showcase Rock Legend itu dilihat sebagai satu platform besar buat dirinya beraksi bahkan terharu dengan sokongan ramai yang masih mahu melihatnya bermain dram.

“Seronok sebab akan bermain bersama Gersang dan penyanyi rock legenda lain. Ini satu penghormatan buat saya.

“Terima kasih kerana masih mengingati dan menghargai bakat saya, insya-Allah akan lakukan yang terbaik.

“Syukur bakat dan anugerah bermain dram ini tak pernah pudar dalam diri meski banyak dugaan menerjah kehidupan saya,” ujarnya lagi.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN