TAIPING – Seorang lelaki ditahan polis setelah menetak seorang bendahari surau dalam kejadian di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.13 petang itu, mangsa, Normuda Mohd Noor, 68, parah selepas diserang seorang lelaki bersenjata parang yang meluru masuk ke kawasan dapur surau sebelum menetaknya beberapa kali di bahagian kepala dan tangan.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di dapur surau berkenaan sebelum suspek berusia 55 tahun yang juga penduduk kampung sama bertindak ganas dengan menyerangnya tanpa amaran.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap mangsa selain mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri yang pernah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
“Suspek datang secara tiba-tiba dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam. Mangsa kini dirawat di Hospital Taiping. Berdasarkan semakan, suspek turut mempunyai 16 rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohamad Nasir, tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping berjaya menahan suspek pada pukul 4.30 petang di kawasan Kamunting kira-kira sejam selepas kejadian, manakala asil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin. – KOSMO! ONLINE














