HANOI – Vietnam meletakkan harapan besar di Sukan SEA Thailand 2025 apabila skuad olahraganya disasar membawa pulang 14 pingat emas sebagai tanda dominasi serantau.
Pada edisi 2019 di Filipina, Vietnam menguasai acara balapan Asia Tenggara dengan 16 pingat emas, sebelum melakar sejarah pada temasya 2022 di Hanoi apabila meraih 22 emas sekali gus mengekalkan status kuasa besar rantau ini.
Bagaimanapun, prestasi mereka merosot pada edisi Kemboja 2023 selepas sekadar mengutip 12 pingat emas daripada 47 acara, jauh di belakang Thailand yang muncul juara keseluruhan dengan 16 emas.
Ketua jurulatih, Nguyen Manh Hieu mengakui beban utama terletak di bahu pelari jarak sederhana dan jauh negara itu, Nguyen Thi Oanh yang menjadi sandaran emas Vietnam.
“Thi Oanh kekal sebagai pelari paling konsisten dan dia masih berpotensi mendominasi acara 1,500 meter (m), 3,000m lari berhalang, 5,000m serta 10,000m,” kata Manh Hieu.
Meskipun mendaftar untuk empat acara, sumber pasukan memberitahu Thi Oanh dijangka hanya turun dalam tiga perlumbaan bagi mengoptimumkan peluang memenangi pingat emas.
Vietnam turut menumpukan kekuatan tradisi mereka dalam saingan 400m lelaki dan wanita termasuk acara berganti-ganti, tetapi berdepan laluan sukar dalam acara pecut 100m serta 200m yang kini dikuasai Thailand dan Singapura.
Tamparan besar turut dirasai selepas pelari muda, Tran Thi Nhi Yen tidak lagi bersama pasukan berikutan keputusan menyambung pengajian sekali gus menjejaskan persiapan Vietnam dalam acara pecut wanita.
Menjelang temasya dwitahunan itu, skuad olahraga Vietnam memasuki fasa latihan intensif di dalam dan luar negara dengan skuad 400m wanita menjalani latihan pusat di Perancis, manakala 400m, 800m, 1,500m lelaki serta kumpulan lompat tinggi berlatih di China. – AGENSI














