BANGKOK – Pendekatan tenang tanpa meletakkan sebarang tekanan tinggi ke atas diri sendiri menjadi kunci kejayaan atlet taekwondo negara, Chin Ken Haw menuai pingat gangsa dalam acara poomsae gaya bebas individu lelaki di Sukan SEA 2025 hari ini.
Beraksi di Fashion Island Mall, Bangkok, Ken Haw memperagakan rutin yang kemas dan bertenaga untuk mengutip 7.740 mata, sekali gus memastikan kedudukan podium buat kontinjen Malaysia.
Pingat emas acara itu menjadi milik Macario Justin Kobe dari Filipina yang cemerlang dengan 8.200 mata, manakala perak diraih wakil tuan rumah, Koedkaew Atchariya (8.100 mata).
Mengulas kejayaannya, Ken Haw yang membuat penampilan kedua di pentas Sukan SEA mengakui, strategi tidak meletakkan bebanan sasaran warna pingat membolehkannya fokus sepenuhnya terhadap kualiti persembahan.
“Saya berpuas hati dengan gangsa ini kerana pesaing di sini memang kuat. Ini adalah hasil kerja keras sepanjang tahun dalam persiapan ke Bangkok.
“Tiada sasaran spesifik sama ada gangsa, perak atau emas. Saya cuma mahu berikan persembahan terbaik dan biarpun gangsa, ia sangat berbaloi untuk saya,” katanya.
Ken Haw kini mengalihkan fokus kepada acara poomsae berpasukan dengan tekad meneruskan momentum positif bagi membantu skuad negara sekali lagi menaiki podium. – KOSMO! ONLINE














