fbpx
KETUA Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah (kiri) pada majlis menaikkan bendera Sukan SEA di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok kelmarin. - MSN MALAYSIA

Sukan SEA: Misi buru 200 pingat bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Di sebalik kemeriahan majlis pembukaan Sukan SEA Thailand 2025 malam tadi, langkah kontinjen Malaysia memburu 200 pingat tanpa mengira warna edisi ke-33 kali ini disifatkan sebagai ‘misi wajib’ demi menebus maruah negara.

Beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan tampil berani meletakkan sasaran tinggi untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang sekerap mungkin bermula hari ini hingga 21 Disember nanti.

Persatuan Badminton Malaysia membuktikan tiba di Thailand bukan sekadar pelengkap jadual apabila sudah mengesahkan pingat gangsa berpasukan wanita dan kini menanti sama ada emas atau perak dijelmakan oleh skuad lelaki.

Kem skuasy negara menyasarkan dua emas, manakala silat dan sepak takraw masing-masing bertekad menyumbang dua kilauan emas hasil persiapan rapi sejak awal tahun.

Skuad hoki negara turut melaungkan amaran awal apabila pasukan hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita mara ke separuh akhir hasil tiga kemenangan bersih di pusingan round robin.

Pastinya, fokus utama di Bangkok dan Chonburi kali ini untuk memadam episod suram yang menghantui kontinjen negara pada edisi Phnom Penh 2023 di Kemboja.

Tragedi menduduki tangga ketujuh dengan hanya 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa adalah pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan negara, jauh berbeza dengan rekod gah 323 pingat dengan 145 emas ketika bergelar tuan rumah pada 2017.

Penyertaan dalam semua 50 acara dipertandingkan selepas temasya dibuka rasmi di Stadium Nasional Rajamangala malam tadi, perlu dimanfaatkan sebagai batu loncatan sebelum Malaysia menganjurkannya semula pada 2027.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, pelaburan menghantar kontinjen terbesar kali ini membabitkan 47 peratus atlet berpasukan dan muda adalah strategi jangka panjang yang mesti disusuli dengan semangat juang tinggi.

“Jika kita hanya memilih atlet berdasarkan potensi pingat jangka pendek (emas sahaja), kita akan menafikan peluang pendedahan kepada ramai atlet muda yang bakal menjadi sandaran negara pada masa hadapan.

“Walaupun rakyat di luar sana tidak tahu jumlah sasaran emas, tetapi atlet dan persatuan tahu kerana KPI telah diberikan. Saya percaya anda mahu menang bukan sahaja untuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau persatuan, tetapi demi maruah keluarga dan diri sendiri,” katanya.

Hannah turut mengingatkan pingat yang dibawa pulang bakal menjadi kejayaan peribadi buat atlet, justeru mereka perlu mencipta sejarah baharu di bumi Thailand.

“Kita membuat sejarah dengan hantar kontinjen terbesar, tetapi ada sejarah lain yang sedang ditulis. Sejarah itu mesti ditulis oleh atlet sendiri.

“Apabila Jalur Gemilang berkibar, biarlah dunia tahu anda bukan sekadar bertanding. Anda membawa nama negara, semangat rakyat dan harga diri Malaysia. Saya nak kalau boleh, lagu Negaraku dimainkan sebanyak mungkin di Thailand nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN