BANGKOK – Skuad badminton lelaki negara bukan sekadar memburu pingat emas, malah membawa misi wajib untuk menamatkan kemarau 20 tahun apabila turun membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Indonesia di pentas final Sukan SEA Thailand 2025 hari ini.
Momentum skuad negara kini berada pada tahap terbaik selepas mudah menyingkirkan tuan rumah, Thailand 3-1 pada aksi separuh akhir di Universiti Thammasat, Bangkok kelmarin.
Biarpun sedar laluan berliku menentang Indonesia, kem negara optimis kekuatan sektor beregu lelaki mampu menjadi senjata ampuh untuk melakar sejarah di bumi Bangkok.
Bagi aksi final hari ini, Malaysia dijangka mempertaruhkan Leong Jun Hao selaku perseorangan pertama diikuti gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Justin Hoh (perseorangan kedua), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu kedua) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (perseorangan ketiga).
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui, kelebihan Malaysia terletak pada kekuatan beregu, namun mengingatkan anak-anak buahnya supaya bijak mengawal tekanan di final.
“Memang Malaysia kuat dalam acara beregu, sama ada pasangan pertama mahupun kedua. Tetapi, ada sedikit tekanan buat pemain dan itu perkara biasa yang tidak boleh dielak dalam pertandingan.
“Semua pemain perlu fokus kepada corak permainan sendiri. Berdepan Indonesia di final adalah tugas sukar kerana lawan memiliki barisan pemain yang lebih seimbang, baik daripada perseorangan mahupun beregu.
“Apa sahaja boleh terjadi kerana negara yang menjadi tumpuan biasanya turut merasai tekanan. Pemain perlu kekal tenang,” katanya.
Mengulas mengenai gandingan Aaron-Wooi Yik yang kembali bersatu selepas hampir sebulan tanpa kejohanan kompetitif, jurulatih Indonesia itu mengakui pasangan No. 2 dunia berkenaan belum mencapai tahap prestasi maksimum.
“Penampilan mereka belum menyerlah sepenuhnya. Aksi separuh akhir mereka menang, tetapi belum mempamerkan aksi sebenar.
“Semoga di final nanti mereka boleh berikan persembahan lebih bertenaga,” katanya.
Kali terakhir Malaysia merangkul emas acara berpasukan lelaki pada edisi Manila 2005 di Filipina dengan menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi final. – KOSMO! ONLINE














