SKUAD bola sepak wanita sudah tiada pilihan lain kecuali mencipta kejutan ke atas Filipina pada aksi terakhir Kumpulan B Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Chonburi esok.
Keputusan yang lebih positif sekurang-kurangnya menjadi ‘oleh-oleh’ buat Malayan Tigress selepas menjadi mangsa belasahan kepada Vietnam 0-7 dan Myanmar 0-3 pada dua aksi awal.
Bagaimanapun, tugas berat menanti pengendali negara, Joel Cornelli memandangkan Filipina yang berada di ranking ke-39 dunia adalah jaguh utama di rantau ini dan pernah layak ke Piala Dunia Wanita 2023.
“Saya tidak gembira dengan kesilapan kami lakukan (menentang Myanmar) tetapi sekurang-kurangnya pemain menunjukkan sikap melawan dan cuba tampil lebih tersusun setiap masa.
“Pada hari terakhir (menentang Filipina), mereka perlu tampil ke padang tanpa ada rasa mahu mengalah,” katanya.
Mengambil kira status pasukan yang boleh dikatakan pintu ke separuh akhir sudah tertutup, Cornelli menjelaskan tiada apa harus dikesalkan kerana dua lawan negara sebelum ini berada di ranking lebih baik.
“Kami bermain 35 minit dengan kurang seorang pemain. Saya berpuas hati dengan pemain kerana lawan kami berada di ranking yang bagus, tampil sebagai pasukan lebih baik dan mereka berhak untuk menang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














