BINTANG skuasy wanita negara, Aifa Azman tekad memberi tumpuan penuh kepada kempen Piala Dunia di Chennai, India minggu depan meskipun terpaksa melupakan penyertaannya di Sukan SEA Thailand 2025 akibat pertindihan jadual.
Aifa berkata keputusan itu dibuat kerana kejohanan berprestij tersebut menawarkan cabaran lebih besar selain Malaysia membawa barisan lebih mantap pada edisi kali ini yang turut menyaksikan skuad negara berada di ranking ketiga kejohanan.
“Tahun ini ada Piala Dunia, minggu sama dengan Sukan SEA, jadi saya dipilih untuk sertai Piala Dunia kerana kami membawa pasukan yang lebih kuat ke sana,” kata Aifa yang pernah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel Birmingham 2023.
Meskipun tidak menyertai Sukan SEA sejak kali terakhir ketika meraih pingat emas pada edisi Kuala Lumpur 2017, Aifa yakin fokus kepada Piala Dunia adalah keputusan paling tepat bagi membantu Malaysia muncul pencabar utama di pentas berprestij berkenaan.
Ini disebabkan Aifa tidak beraksi ketika Malaysia muncul naib juara Piala Dunia sewaktu edisi terakhir yang juga diadakan di India menyaksikan Malaysia tewas tipis di pentas final kepada Mesir pada 2023.
Kali ini, Aifa akan turun bersama adiknya, Aira Azman dan dua lagi pemain lelaki iaitu Mohd. Syafiq Kamal serta Ameeshenraj Chandara.
Aifa yang baru pulang daripada kejohanan di Hong Kong dan sudah berlepas ke India kelmarin mengakui jadual padat itu sedikit meletihkan, namun bukan sesuatu yang asing dalam karier.
“Memang agak penat, tapi saya sudah biasa dengan banyak kejohanan. Perjalanan pun tidak terlalu jauh dan pemulihan seperti tidur cukup, makan elok dan urutan sudah memadai untuk kembalikan tenaga,” jelasnya.
Aifa turut menekankan kepentingan adaptasi terhadap format baharu tujuh mata yang lebih pantas daripada sistem 11 mata, terutama dengan kewujudan mata penentuan sudden death jika kedudukan terikat 6-6.
“Format tujuh mata ini cepat dan tekanan lebih tinggi, jadi saya perlu masuk ‘laju’ dalam perlawanan dan cuba selesaikan set secepat mungkin kerana satu mata boleh tentukan kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














