NEW DELHI – Sepasang suami isteri di India mengundang kecaman pengguna media sosial apabila mereka dirakam memasak dan berpiknik di tepi sebuah lebuh raya, lapor stesen penyiaran NDTV.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @Nalanda_index menunjukkan seorang lelaki berdiri sambil melihat isterinya menyediakan makanan di tepi lebuh raya.
Si isteri bukan sahaja membiarkan bahan masakan berselerak di atas jalan, malah dia menguli doh lalu diletakkan di atas dapur gas mudah alih untuk dibakar.
Rakaman itu mencatatkan lebih 621,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Kerajaan perlu membina kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dilengkapi tandas dan tempat duduk untuk setiap beberapa kilometer, supaya orang yang melakukan perjalanan jauh boleh berehat,” kata seorang netizen.
“Kenapa mereka tidak boleh makan di hotel atau membawa makanan yang sudah dimasak dari rumah?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














