KLANG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) diarahkan menyiasat dakwaan banjir berulang di Hulu Langat berpunca daripada pembersihan hutan secara haram.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengambil tindakan segera terhadap pihak terlibat.
“Kita akan lihat dahulu apa yang berlaku. Bagi kawasan yang melibatkan rizab sungai, JPS akan jalankan tindakan. Manakala JPNS akan bertindak sekiranya melibatkan kawasan hutan,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam Jubli Emas Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan penarahan bukit berhampiran Taman Damai, Batu 18, Hulu Langat diketahui menerusi tinjauan bersama pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan JPS Hulu Selangor yang menggunakan dron bagi memeriksa keadaan tapak sebelum mengesahkan kewujudan kerja tanah tanpa kelulusan.
Amirudin berkata, Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 akan disegerakan bagi menangani masalah banjir di Hulu Langat.
“Ia kini masih berada dalam peringkat reka bentuk. Jika projek ini diselesaikan, ia mampu mengalirkan air dari Hulu Langat ke Kuala Langat dan Sepang, sekali gus mengurangkan risiko banjir,” jelasnya.
Beliau menambah, keseluruhan projek JPS memerlukan masa panjang kerana proses reka bentuk perlu teliti bagi mencari solusi yang dapat mengelak masalah berulang. – KOSMO! ONLINE














