KUALA LUMPUR – Ibarat pantang kutu dicukur, pantang manusia dihina, pelawak terkenal, Yassin Senario terharu dengan sikap ahli Senario yang sanggup menutup mulut demi menjaga aibnya sepanjang dia ditahan di Jeddah selama enam bulan pada tahun lalu.
Menyifatkan dirinya sebagai adik bongsu dalam kumpulan pelawak ikonik tersebut, Yassin atau nama lengkapnya Yassin Yahya, 47, cukup kenal hati budi abang-abangnya (ahli Senario) yang akan melindunginya sebaik mungkin.
“Sudah 25 tahun saya bersama Senario. Saya sudah kenal perangai masing-masing. Walaupun mereka kelihatan gila-gila macam mana sekalipun saya tak risau kerana mereka akan cuba sedaya upaya tidak bercakap tentang saya kepada umum.
“Mereka lebih suka saya sendiri yang berdepan dan jelaskan apa yang berlaku kepada saya. Selagi mereka boleh tutup mereka akan tutup,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Senariounion 30 Tahun di sini, semalam.
Bercerita tentang peristiwa hitam yang melandanya di luar negara, kata pelakon filem Tangkai Jering itu menganggap musibah yang menimpa sebagai satu ujian yang harus disyukuri dan diambil sebagai pengajaran bukannya ditangisi.
“Apa yang berlaku adalah satu musibah yang perlu saya syukuri. Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing. Saya tak tahu mungkin akan datang Allah akan uji lebih hebat.
“Paling penting dalam hidup ini saya akan terus belajar. Kesilapan itu memang akan sentiasa berlaku di mana-mana,” jelasnya.
Ditanya adakah dia trauma atau serik untuk kembali ke Tanah Suci mengerjakan ibadah umrah, kata Yassin dia teringin kembali ke sana.
“Trauma tak pernah ada dalam kamus hidup saya. Kita tak tahu Allah nak uji macam mana pula selepas ini di masa akan datang.
“Saya sudah pernah ada pengalaman sebelum ini. Pengalaman-pengalaman itu yang mengajar saya untuk menempuh masa akan datang. Saya bukannya budak lagi, saya dah hampir ada cucu dah.
“Untuk kembali ke sana insya-Allah jika diberikan rezeki saya mahu ke sana bersama anggota Senario dan juga keluarga saya. Tiada larangan untuk saya kembali ke sana. Sebelum ini saya ke sana sebab ditaja. Jadi saya hanya ada masa yang singkat untuk buat persiapan. Kali ini saya mahu buat persiapan yang lebih,” ujarnya.
Pada Oktober 2024, Yassin mengejutkan negara apabila ditahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah ketika transit ke Madinah dan dimasukkan ke lokap khas tahanan dadah, walaupun tidak mengetahui kesalahan sebenar yang dilakukan.
Enam bulan dalam tahanan, ketiadaan Yassin di Malaysia mulanya menjadi tanda-tanya umum sehinggalah satu demi satu cerita mula terbongkar. – KOSMO! ONLINE














