KUALA LUMPUR – Pelantikan Rider Gate Sdn. Bhd. (Rider Gate) sebagai ejen pemungut baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak melibatkan aplikasi MyJPJ.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, aplikasi MyJPJ tidak akan diambil alih oleh syarikat berkenaan dan kekal dibawah kendalian JPJ.
“Rider Gate pemungut sahaja dan tiada kena mengena dengan aplikasi MyJPJ. Mereka tidak akan mengganggu atau ambil alih. Mereka sama seperti ejen pemungut lain dilantik kerajaan.
“Itu sahaja yang dapat saya beritahu sekarang. Aplikasi MyJPJ tidak akan disentuh, tidak akan diisi atau diambil alih oleh Rider Gate. Itu maklumat yang telah saya terima,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ng Keng Heng berhubung kewajaran kerajaan melantik Rider Gate sebagai ejen pemungut baharu bagi pihak JPJ.
Semalam, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli turut memaklumkan, ejen pemungut tidak memiliki sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi jabatan itu.
Beliau menegaskan semua transaksi rasmi dan saluran utama kekal di bawah kawalan jabatan melalui aplikasi MyJPJ, sistem MySikap dan semua Pejabat JPJ, tanpa campur tangan ejen luar.
Penegasan tersebut dibuat susulan timbul kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan pelantikan Rider Gate sebagai ejen pemungut baharu jabatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














