TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang pemandu cedera selepas sebuah pesawat ringan mendarat cemas dan menghempap kereta yang dipandunya di sebuah lebuh raya di negeri Florida, lapor portal berita Wionews.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Interstate 95, daerah Brevard semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @MikeWESH_2 menunjukkan pesawat itu terbang rendah sebelum melanggar bumbung sebuah kereta yang bergerak laju.
Polis tempatan berkata, pesawat itu melanggar kereta jenis Toyota Camry keluaran 2023.
“Juruterbang dan seorang penumpang yang masing-masing berusia 27 tahun terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Namun, pemandu kereta tersebut cedera ringan,” kata polis.
Pasukan Penyelamat Kebakaran Daerah Brevard mengesahkan bahawa kapal terbang itu mendarat cemas di lebuh raya yang sibuk.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca pendaratan cemas yang mengakibatkan pelanggaran,” katanya. – AGENSI














