SEREMBAN – Seorang operator kilang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berbeza di taman permainan sejak November lalu.
Tertuduh, Muhamad Azizzuan Arsemi, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N.Kanageswari.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh telah didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dada dan kemaluan mangsa bagi maksud seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia tujuh, lapan dan sembilan tahun.
Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya bagi maksud seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada waktu petang dari 21 November hingga 3 Disember lalu di taman permainan di Taman Senawang Indah dan Taman Jasmin, di sini.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 15 (a) (i) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.














