KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini tidak membincangkan mengenai siapa akan menggantikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berikutan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, pemimpin parti ketika ini masih bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
“Kita tidak bincang apa-apa berkaitan Sabah, cuma sebelum mesyuarat bermula, kami ada membuat tahlil untuk arwah.
“Perasaan kini sangat bercampur baur, sebab setiap kali mesyuarat politik arwah akan berada di sebelah saya. Mungkin perlu bagi sedikit masa kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Datuk Onn, di sini malam ini.
Terdahulu, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi.
Beliau bagaimanapun meninggal dunia kurang seminggu selepas dipilih sebagai ADUN Lamag untuk penggal kedua. – KOSMO! ONLINE














