JELEBU – Sebuah Masjid Warisan Kuala Dulang di Kuala Klawang berusia kira-kira 500 tahun di sini, menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab apabila tabung masjid dipecahkan dalam kejadian dipercayai berlaku semalam.
Imam 1, Suffian Arif, 51, berkata, kejadian disedari oleh bilal, Shahrel Mohd Zain, 59, selepas solat zuhur semalam dan pihak jawatankuasa masjid nekad membuat laporan polis hari ini bagi memastikan pelakunya ditangkap.
“Jadi, pagi tadi bilal masjid serta bendahari telah buat laporan polis. Kita dapati dua tabung masjid telah dipecahkan. Kita tak pasti berapa jumlah kerugian yang dialami, namun kali terakhir pihak masjid mengambil duit tabung selepas solat Jumaat lalu.
“Kebiasaannya kutipan mingguan mencecah RM1,000 dan bagi tempoh Jumaat hingga ke Selasa, kita tak pasti berapa wang yang terdapat di dalam tabung. Namun, kita harap agar individu tak bertanggungjawab ini dapat ditangkap.
“Kejadian ini baru pertama kali berlaku tahun ini, namun beberapa tahun sebelum ini kejadian serupa pernah berlaku dan kita tidak mahu kejadian serupa berulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Difahamkan, laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Klawang kira-kira pukul 9.35 pagi tadi.














