BATU PAHAT – Akibat tidak dapat menahan api kemarahan selepas dihalang mengambil anaknya sendiri, seorang mekanik bertindak menggigit tangan adik ipar dalam satu kejadian di Kampung Baru Peserai Dalam di sini, Ahad lalu.
Perbuatan Mohd Saznif Afizah Saufi, 37, mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan adik iparnya berusia 29 tahun di sebuah rumah di Kampung Baru Peserai Dalam di sini, pada pukul 9.30 pagi, 7 Disember lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh datang ke rumah keluarga mentuanya untuk mengambil anak namun dihalang oleh mangsa yang juga adik iparnya.
Akibatnya berlaku pergelutan dengan tertuduh kemudiannya naik angin lalu bertindak menggigit tangan mangsa yang ketika itu sedang mendukung anaknya.
Kejadian itu menyebabkan tertuduh mengalami kecederaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan pengakuan tidak bersalah, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula kes terbabit.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM2,000 namun tiada kelibat ahli keluarganya datang untuk membayar.
Ini menyebabkan tertuduh dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara dengan kes disebut semula pada 11 Januari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE














