JAKARTA – Sekumpulan jemaah sebuah masjid di Sampang, wilayah Jawa Timur terkejut apabila seorang lelaki tidak dikenali masuk ke tempat ibadah itu dan mengumumkan tentang kiamat menggunakan mikrofon, lapor portal berita Jatim.
Kejadian berlaku di Masjid Al-Istianah, kampung Karang Dalem semalam.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki terbabit berdiri di dalam masjid sambil mengarahkan penduduk untuk berpindah kerana mendakwa kiamat semakin hampir.
Dia kemudian ditangkap oleh penduduk tempatan.
Pemangku Ketua Perhubungan Awam Polis Sampang, AKP Eko Puji Waluyo mengesahkan bahawa lelaki itu merupakan pesakit mental yang dikenali sebagai SR.
“Menurut ahli keluarganya, dia pernah menerima rawatan psikiatri di hospital di Surabaya. Selepas ditahan, kami menyerahkan SR kepada keluarga lalu membawanya ke hospital untuk menerima rawatan,” kata Eko. – AGENSI














