PETALING JAYA – Penyanyi Andi Bernadee kini menerima rawatan di sebuah hospital selepas disahkan mengalami masalah hipertiroidisme iaitu keadaan kelenjar tiroid menghasilkan hormon secara berlebihan sehingga menjejaskan fungsi tubuh.
Andi atau nama lengkapnya Andi Azrul Andi Mapangile, 34, mendedahkan penyakit tersebut membuatkan bahagian lehernya membengkak dan dipenuhi ulser, sekali gus menyukarkannya untuk makan atau minum.
“Saya dimasukkan ke hospital kerana hyperthyroidism di mana hormon itu terkena pada tiriod (saya rasa), jadi penuh dengan ulser.
“Saya punya leher pun jadi bengkak. Saya tidak boleh telan air liur, tak boleh minum. Kalau minum macam kena siat, nak makan pun susah.
“Saya juga demam dan menggigil kesejukan sehingga meracau. Macam itulah, tetapi sekarang keadaan saya bertambah baik,” katanya dalam InstaStory.
Tambah pelantun lagu Satu Peluang itu keadaannya menjadi semakin teruk sebelum dimasukkan ke wad apabila mengalami demam, menggigil, dan meracau.
“Saya sudah tiga hari berada di wad dan keadaan bertambah baik. Saya ada simptom-simptom di mana degupan jantung tiba-tiba laju, kadang tengah tidur pun saya boleh terjaga.
“Kemudian saya mengalami simptom seperti sesak nafas tetapi bukan semput. Saya juga mengalami penurunan berat badan.
“Tubuh badan saya pun bergetar, kalau orang perasan kaki saya pun kadang menggeletar. Saya macam kena serangan panik dan beberapa simptom lagi,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, dia perlu meneruskan rawatan dan bergantung pada ubat-ubatan untuk tempoh tertentu sehingga keadaan stabil.
“Saya akan makan ubat mungkin dalam enam bulan atau setahun. Tengok keadaan nanti macam mana.
“Tengoklah urat-urat saya sudah timbul. Macam-macam ubat masuk, steroid, ubat tahan sakit, antibiotik, ubat kebas dan ubat hormon.
“Jadi saya akan bergantung pada ubat dan harapnya keadaan saya makin baik. Kalau sesiapa nampak saya menggeletar maksudnya penyakit autoimmune ini menyerang saya semula,” katanya lagi.
Sebelum ini, keadaan fizikal Andi yang kurus melidi dan wajah cengkung merisaukan peminat.
Dalam masa sama, Andi menafikan spekulasi yang mendakwanya mengambil barang terlarang dan membuat pembedahan bariatrik untuk kurus.
Dia juga menepis dakwaan kononnya mengalami masalah pemakanan gara-gara putus cinta sehingga berdepan penurunan berat secara mendadak. – KOSMO! ONLINE














