PETALING JAYA – Pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi ini berdepan gangguan selepas sebuah kenderaan penyelenggaraan Rapid Rail tergelincir dari landasan ketika kerja membaik pulih dijalankan di Stesen Universiti.
Insiden yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan kerosakan pada sistem semboyan, sekaligus menjejaskan jadual tren antara Stesen Taman Bahagia hingga KL Sentral.
Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan, tren alternatif dan bas perantara telah diaktifkan bagi menghubungkan stesen yang terkesan dengan kekerapan antara 4 hingga 20 minit, bergantung kawasan.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @_asyikin_11, gangguan tersebut berlaku seawal 7.30 pagi tadi.
“Lagi sekali, masih pukul 7.30am, ada gangguan teknikal. Manusia sesak dekat semua stesen,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja baik pulih dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 45 minit.
Rapid Rail menasihati pengguna supaya merujuk media sosial Rapid KL untuk maklumat terkini jadual perkhidmatan.
Bagaimanapun setakat ini, beberapa pengguna melaporkan perkhidmatan tren mula kembali stabil namun masih berlaku kelewatan di beberapa stesen. – KOSMO! ONLINE














