KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis menjangkakan nilai kerugian akibat banjir besar yang melanda negeri ini berkemungkinan mencecah sehingga RM230 juta, susulan kesan terhadap pelbagai sektor ekonomi dan infrastruktur.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail berkata, anggaran awal sebelum ini sekitar RM200 juta, namun jumlah tersebut dijangka meningkat berikutan proses pengumpulan data kerosakan yang masih dijalankan oleh agensi berkaitan.
“Setakat ini, semua agensi masih mengumpul maklumat berhubung jumlah kerugian terlibat dan kita menjangkakan angka sebenar dapat diumumkan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi. Anggaran kerugian tersebut melibatkan semua sektor termasuk pertanian, pelancongan dan infrastruktur di seluruh negeri,” katanya di sini.
Untuk rekod, kerosakan akibat bencana banjir besar pada 2010 mencatatkan kerugian kira-kira RM200 juta yang melibatkan pelbagai sektor di negeri itu.
Menurutnya, bagi sektor infrastruktur sahaja, maklumat awal yang direkodkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menunjukkan anggaran RM17 juta hingga RM20 juta dilaporkan kepada pihak polis melibatkan kerosakan infrastruktur serta institusi kerajaan.
“Sektor infrastruktur hanyalah sebahagian daripada keseluruhan sektor yang dinilai dan masih terdapat lapan atau sembilan sektor lain yang belum selesai pengesanan kos kerugian.
“Selain itu, usaha pemulihan pasca banjir serta pelaksanaan bantuan kepada mangsa turut sedang diselaraskan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam masa terdekat. Insya-Allah mana yang terkesan akibat banjir akan diselaraskan bantuan mengikut keputusan yang telah dibuat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














