PHNOM PENH – Kemboja bersedia untuk duduk semeja dengan Thailand bagi mengadakan rundingan terus untuk menghentikan pertempuran sengit di sepanjang sempadan kedua-dua negara, lapor laman berita The Nation hari ini.
Seorang penasihat kanan kepada Perdana Menteri Hun Manet, Suos Yara bagaimanapun berkata, Bangkok juga mesti menunjukkan sikap baik sebelum dialog itu boleh dimulakan.
Beliau memberitahu, Kemboja terbuka untuk rundingan dua hala segera bagi menghentikan konflik sempadan yang semakin memuncak.
“Jika kedua-dua pihak bersetuju untuk duduk semeja satu jam dari sekarang dan mula berkomunikasi, ia akan menjadi hasil yang sangat baik,” katanya dalam satu wawancara.
Namun, beliau menegaskan bahawa Phnom Penh tidak akan menjadi pihak yang memulakan proses tersebut.
“Kami perlukan sikap baik yang dipersetujui bersama daripada kedua-dua pihak,” katanya sambil menambah, Kemboja tidak akan secara sebelah pihak menyeru kepada rundingan.
Kenyataan itu dibuat ketika kedua-dua negara saling menuduh melanggar gencatan senjata serta berbalas tembakan baharu di sebahagian besar sempadan darat sepanjang 817 kilometer.
Meriam dan senjata berat lain digunakan untuk hari kedua berturut-turut semalam selepas gencatan senjata yang dicapai pada Julai lalu runtuh.
Dalam hanya dua hari pertempuran paling sengit sejak pusingan konflik sebelumnya, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala ratusan ribu penduduk di kedua-dua belah sempadan melarikan diri dari rumah mereka.
Suos Yara menggambarkan konfrontasi itu sebagai permainan kalah-kalah sambil memberi amaran bahawa tiada pihak yang dapat muncul sebagai pemenang.
Thailand dan Kemboja akan sentiasa menjadi jiran, katanya sambil menambah: “Lebih baik kita mencapai kata sepakat, kerana kita akan hidup bersebelahan selama-lamanya.” – AGENSI














