PETALING JAYA – Sekeping kad jemputan kahwin bertarikh 1963 mencuri perhatian orang ramai apabila memaparkan dengan lengkap bukan sahaja nama pengantin, malah pekerjaan mereka serta beberapa ahli keluarga terdekat.
Menerusi hantaran dimuat naik @Roslan.taib di aplikasi Thread, kad berwarna krim dengan tulisan biru itu menjemput tetamu ke majlis perkahwinan Che’ Khadijah Jamid, yang tertera sebagai Guru Dewasa Pulau Tiga, dengan pasangannya Enche’ Osman Yeop dari Pejabat Kesihatan Teluk Anson.
Majlis yang berlangsung di Kampong Bharu, Pulau Tiga pada hari Khamis, 15 Ogos 1963 itu turut menyenaraikan ‘Peratoran Majlis’ dengan terperinci iaitu jamuan nasi dari pukul 1 hingga 3 petang sebelum acara bersanding pada pukul 4 petang.
Lebih menarik, di bahagian bawah kad tercatat senarai ‘yang berharap’ terdiri daripada ahli keluarga seperti Yeop Pandak Manan dari Pejabat Kastam Teluk Anson serta beberapa nama lain lengkap dengan sebutan kampung masing-masing.
Pengguna media sosial rata-rata teruja melihat gaya bahasa Melayu lama yang digunakan seperti “ka-pondok kami”, “di-persilakan” dan ejaan gelaran “Enche’”.
Selain itu mereka juga mengakui kagum kerana jemputan pada era tersebut begitu teliti sehingga menyatakan kerjaya pengantin.
Ramai turut menyifatkan kad itu sebagai dokumen bersejarah yang bukan sahaja menyimpan momen bahagia pasangan pengantin, malah menjadi rakaman suasana dan budaya masyarakat Melayu lebih 60 tahun lalu.
“Betul dulu memang tulis pekerjaan. Kad kahwin mak saya dulu pun macam itu,” komen Alia Marini.
“Kenapa sekarang tak dikekalkan perkataan Enche’ tu. Lebih bergaya dan tepat bunyinya. Sekarang eja Encik tapi sebut ‘Enche’ jugak. Sama juga dengan Che’ dan Cik,” komen Salmi.
“Oh macam tu rupa kad kahwin orang dulu-dulu, siap sebut pekerjaan lagi. Nasib baik orang zaman sekarang tak buat kad kahwin macam tu. Kalau tak kerja nak tulis apa,” komen Izzu pula. – KOSMO! ONLINE














