SHAH ALAM – Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, wajar dipertimbangkan berikutan wujud keadaan istimewa membabitkan anaknya yang autistik.
Peguam Haresh Mahadevan mewakili Ismanira memaklumkan anak kedua wanita tersebut berusia enam tahun yang kini berada di bawah jagaan suaminya dan memerlukan perhatian serta sokongan emosi berterusan daripada ibu.
Katanya, laporan pakar Dr. Noor Aishah Rosli menyatakan kanak-kanak itu mengalami tekanan emosi ketara akibat berpisah dengan ibu bapanya lebih setahun.
“Suami Ismanira terpaksa membawa anak mereka ke Penjara Kajang setiap dua bulan untuk lawatan.
“Namun, prosedur yang hanya membenarkan pertemuan melalui papan kaca tanpa sentuhan fizikal tidak sesuai untuk seorang anak autistik, kerana sentuhan fizikal penting untuk kestabilan emosi dan komunikasi,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan persekitaran penjara yang bising dan menakutkan boleh mendatangkan risiko trauma psikologi serius kepada kanak-kanak sensitif seperti anak Ismanira.
“Permohonan penangguhan hukuman itu menekankan bahawa memaksa anak melawat penjara tanpa penangguhan boleh menjejaskan perkembangan emosinya dan tidak selaras dengan kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya.
Dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin itu, pendakwaan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menolak hujahan berhubung keadaan khas itu.
“Pemohon juga gagal mengemukakan keterangan doktor pakar atau doktor yang menunjukkan anak ini berada dalam keadaan tidak stabil atau tidak sihat.
“Sepatutnya satu afidavit dikemukakan untuk pertimbangan dan menyokong hujahan itu,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Disember untuk keputusan permohonan tersebut. – KOSMO! ONLINE














