SEBERANG PERAI – Seorang ibu bersama anak angkat perempuan berusia empat tahun ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di kediaman teres berkembar di Taman Rathna, Butterworth di sini, tadi.
Mayat Hayani Yaakob 50-an dan anak angkatnya, yang dikenali sebagai Andra dijumpai di bahagian ruang tamu, berhampiran pintu keluar utama, selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.41 pagi tadi, seorang lelaki dipercayai merupakan anak kandung Hayani iaitu Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an ditemukan cedera akibat dihempap bumbung di ruangan dapur.
Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa pertama iaitu lelaki berjaya dikeluarkan pada pukul 10.21 pagi tadi.
“Mangsa kedua dan ketiga terdiri ibu dan anak angkatnya telah dijumpai dalam keadaan rentung pada pukul 10.59 pagi. Mayat mereka masih berada di lokasi kejadian.
“Kebakaran telah dapat dipadamkan pada pukul 11.21 pagi tadi dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan dan maklumat akan dikemaskini,” katanya di sini, tadi.
Beliau memberitahu, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala mayat kedua-dua mangsa pula akan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.-KOSMO! ONLINE














