SEREMBAN – Kerajaan Negeri menegaskan mana-mana gerai MyKiosk yang tidak beroperasi melebihi tempoh sebulan akan dipindahkan serta-merta bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan peniaga yang benar-benar memerlukan.
Isu itu dibangkitkan dalam sesi Persidangan Hari Keempat (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.
Ini selepas Datuk Mohd Asna Amin (BN-Lenggeng) mempersoalkan tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang memaklumkan tiada kios kosong, sedangkan semalam ketika perbahasan Ketua Pembangkang Mohamad Hanifah Abu Baker (PN–Labu), dinyatakan terdapat 10 hingga 11 kios tidak digunakan di kawasan Labu.
Beliau meminta kerajaan negeri menetapkan tempoh jelas bagi menilai keoperasian kios.
“Kalau kios sudah lebih 10 bulan tidak digunakan, bolehkah dipindahkan kepada pemohon baharu kerana permintaan di kawasan Lenggeng tinggi? Berapa bulan tempoh yang perlu ditetapkan sebelum ia boleh ditarik balik?” soalnya.
Menjawab perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar (PH-Nilai) berkata, semakan mendapati terdapat kios di Labu yang memang tidak beroperasi, termasuk di kawasan Kampung Jerangkang yang kurang mendapat sambutan walaupun Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menawarkan kepada beberapa peniaga.- KOSMO! ONLINE














