BENTONG – Dua maut manakala seorang cedera parah selepas kereta jenis Proton Iswara dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis Mercedes Benz di Kilometer 4 Jalan Kuala Lumpur-Bentong berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman di sini hari ini.
Mangsa maut dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu ialah Mohd Nazri Md. Salleh, 51, yang berada di tempat duduk hadapan dan Karmilawati Muhamad Yaakob, 51, berada di tempat duduk belakang.
Pemandu kereta jenis Proton Iswara berusia 23 tahun mengalami cedera parah, manakala pemandu kereta jenis Mercedes Benz berumur 40 tahun mengalami kecederaan.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan ke arah Bentong, manakala kereta jenis Mercedes Benz dari arah bertentangan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Iswara telah tersepit.
“Pasukan bomba sampai di lokasi membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan didapati seorang lelaki dan seorang wanita meninggal dunia serta telah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong. – KOSMO! ONLINE














