MUAR – Dua beranak terkorban dalam kebakaran sebuah rumah banglo dua tingkat di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong Darat, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.35 petang itu mengorbankan lelaki berusia 30 tahun yang terlantar akibat kemalangan jalan raya.
Mangsa ditemukan meninggal dunia di lokasi dengan kesan terbakar pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, seorang lagi mangsa yang berusia 75 tahun pula meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Menurutnya, warga emas itu merupakan bapa kepada mangsa pertama disahkan meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas ketika cuba memadamkan api di dalam rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan banglo dua tingkat dan tiada unsur jenayah ditemui setakat ini.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk proses bedah siasat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290.-KOSMO! ONLINE














