ALOR SETAR – Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang kehilangan ibu bapa serta empat adik yang lemas di dalam kereta di Sungai Korok dekat sini pada 7 Julai lalu menyifatkan peluangnya untuk mengerjakan umrah satu keajaiban.
Ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, memberitahu, Putri Qisya dilihat menitiskan air mata kegembiraan ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah semalam.
“Perasaan dia seronok dan gembira sampai menitis air mata kerana tidak percaya dapat tunaikan umrah. Atas kapal terbang semalam, dia menangis. Memang rasa macam bermimpi apabila dapat ke Tanah Suci.
“Mungkin juga dia teringat arwah ibu bapanya yang selalu bercerita tentang keinginan mereka untuk ke Mekah. Kami semua baik-baik sahaja setakat ini dan berharap untuk menunaikan ibadah ini sehingga dapat umrah mabrur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nur Adliah menambah, dia mengerjakan umrah tersebut bersama Putri Qisya dan suami serta seorang anak mereka sehingga 17 Disember depan
“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin) yang menaja Putri Qisya dan saya sekali gus merealisasikan impian kami setelah sekian lama. Ini juga impian arwah ibu bapa Putri Qisya iaitu mengerjakan umrah,” katanya.
Bercerita tentang perkembangan Putri Qisya, katanya, remaja itu berjaya menamatkan pengajian sekolah rendah dengan cemerlang apabila terpilih sebagai Tokoh Murid dalam satu majlis anugerah di sekolahnya baru-baru ini.
“Putri Qisya memohon untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum ini dan berharap impian itu tertunai kelak,” katanya.- KOSMO! ONLINE














