PETALING JAYA – Selangor FC terus mempamerkan prestasi ‘yo-yo’ apabila tewas kepada kelab Singapura, Lion City Sailors 0-1 pada aksi terakhir Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah yang masih segar dengan kemenangan menewaskan Penang FC 5-1 minggu lalu dilihat gagal memberikan prestasi yang diharapkan walaupun menurunkan pemain terbaik seperti Faisal Halim dan Chrigor Moraes.
Namun, pasukan lawan dilihat lebih ghairah memburu gol apabila penyerang utama, Anderson Lopes memiliki rentetan peluang keemasan tetapi gagal disudahkan.
Selangor yang dibimbing oleh Christophe Gamel turut mencipta peluang keemasan menerusi rembatan Moraes dan Noor Al Rawabdeh tetapi tidak berjaya menerjah jaring.
Lion City Sailors yang menjadi finalis ACL2 musim lalu menggandakan asakan dan berjaya meraih gol pembukaan hasil penyudah Tsiy-William pada minit ke-49.
Tersentak dengan jaringan tersebut, tuan rumah cuba untuk mencuri mana berharga tetapi keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu tidak memberi sebarang makna buat Lion City Sailors apabila dua pasukan teratas, Persib Bandung dan Bangkok United lolos ke peringkat kalah mati musim ini. – KOSMO! ONLINE














