MELAKA – Seorang wanita yang merupakan mangsa kemalangan dilaporkan tidak dibenarkan masuk ke pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk membuat laporan susulan memakai skirt pendek, semalam.
Perkara itu turut disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan sejurus menerima laporan berhubung dakwaan tersebut dan mendapati ia membabitkan pelanggaran etika pemakaian di premis kerajaan.
“Polis Melaka telah menerima makluman berkaitan insiden seorang wanita tidak dibenarkan untuk memasuki pekarangan sebuah IPD di Melaka bagi membuat laporan kerana pelanggaran etika pemakaian di premis kerajaan.
“Etika itu sepertimana surat pekeliling Ketua Setiausaha Negara mengenai penambahbaikan kepada pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam bertarikh 1 Disember 2020,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati individu tersebut bersama seorang lagi wanita telah datang ke IPD Jasin pada pukul 5 petang bagi membuat laporan polis kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Pegawai polis yang bertugas di pintu hadapan telah memohon mereka untuk pulang terlebih dahulu bagi menukar pakaian yang bersesuaian sebelum membuat laporan memandangkan kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
“Pada pukul 5.40 petang, wanita terbabit datang semula ke IPD bersama ibunya bagi membuat laporan polis dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk untuk urusan tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, ekoran insiden itu pihak polis ingin menegaskan mengenai etika pemakaian bagi orang awam yang ingin berurusan di semua kaunter aduan dan kelonggaran hanya diberikan untuk kes-kes kecemasan serta yang memerlukan tindakan pantas pasukan keselamatan.
Katanya lagi, orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE














