PETALING JAYA – Pempengaruh terkenal dalam suntingan video kesan visual (VFX), Sofyank menjawab persoalan orang ramai selepas menghasilkan video promosi pelancongan negara jiran, Singapura.
Menerusi hantaran di media sosial Sofyank atau nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah, mengambil peluang untuk menghasilkan video promosi pelancongan selama tiga hari bersama rakan-rakannya adalah impiannya.
“Ketika mendapat peluang daripada Singapura, dalam menghasilkan video VFX pada tahun ini menjadi impian saya.
“Saya terus ajak Shaffuan dan kawan-kawan saya untuk menjalankan projek ini dengan konsep ‘run and gun’ iaitu berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain demi video yang menarik,” katanya.
Malah katanya, Sofyank yang turut dikenali di Hollywood menyatakan hasratnya dalam menghasilkan video promosi buat negara tercinta, Malaysia terutama dengan sokongan ramai sejak awal perjalanannya.
“Ramai yang tanya, tak nak buat video promosi Malaysia ke? Semestinya nak. Saya bangga sangat lahir di Malaysia, menjadi anak Malaysia dan sokongan rakyat sejak awal yang sangat saya hargai,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ramai memberi sokongan padu kepada anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan dalam melebarkan sayap secara global.
“Sebagai warga Singapura, terima kasih Sofyank kerana menghasilkan video yang bermutu tinggi dan tahap antarabangsa. Semoga dapat tawaran lagi di Singapura,” komen @Wancrnis.
“Sedihnya Sofyank sampai kena beri penjelasan. Biar saja orang nak buat kerja. Saya pun orang Malaysia yang berniaga di Singapura, patut dikecam juga ke?,” komen @Glazed.sg.
“Terus maju Sofyank. Awak layak dan mereka (Singapura) tak salah pilih orang dalam menghasilkan video yang terbaik. Awak lebih dihargai di negara luar,” komen @Aanastahirr. – KOSMO! ONLINE














