ABU DHABI – Bekas juara empat kali, Max Verstappen tetap bangga meskipun kemenangan bergaya di Grand Prix (GP) Abu Dhabi kelmarin tidak cukup untuk menghalangnya daripada mempertahankan gelaran dunia dengan perbezaan hanya dua mata.
Pemandu Red Bull itu menutup musim di Litar Yas Marina dengan kemenangan dominan dari petak pertama, namun masih belum mampu menewaskan Lando Norris yang memastikan gelaran dunia dalam genggaman menerusi kedudukan podium.
Apa yang lebih mengagumkan, Verstappen sebenarnya bangkit daripada jurang 104 mata selepas GP Belanda pada Ogos lalu sebelum mencetuskan kebangkitan luar biasa dengan memenangi lima daripada lapan perlumbaan antara Itali hingga Qatar.
Kecemerlangan itu di tambah kesilapan dan masalah teknikal McLaren membuka semula perebutan gelaran hingga Verstappen hanya 12 mata di belakang Norris menjelang perlumbaan penutup musim di Yas Marina.
“Kami tahu perlukan sedikit tuah untuk menang kejuaraan, jadi saya sudah bersedia dengan apa-apa keputusan. Kami sempurnakan hujung minggu ini sebaik mungkin, bermula dengan petak utama dan menang dalam cara yang dominan.
“Jadi tiada apa yang boleh dipertikaikan. Memang perit bila tewas kejuaraan dengan dua mata, tetapi kalau tengok di mana kami berada di Zandvoort, lebih 100 mata di belakang, saya rasa itu bukan sesuatu yang buruk,” ujarnya.
Verstappen juga mengakui berbangga dengan watak juang dipamerkan Red Bull sepanjang separuh kedua musim.
“Kebangkitan ini sangat menyeronokkan, kami tak menang kejuaraan, itu lumrah hidup. Saya tidak terlalu kecewa. Saya bangga dengan semua orang dalam pasukan, mereka keluarga kedua saya,” kata Verstappen. – AGENSI














