fbpx
Alexander berkata kepada media pada Majlis Perasmian Korea Malaysia ITS Roadshow 2025 di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Tiga peratus projek ‘sakit’, angka kecil tetap beri perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hanya tiga peratus sahaja projek dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ dan bermasalah, namun angka kecil itu tetap diambil perhatian oleh Kementerian Kerja Raya.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu dilakukan menerusi jadual khas dibuat oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya dalam memastikan pihak kementerian memantau setiap projek yang dijalankan.

“Kita tidak menafikan projek lewat, projek bermasalah atau projek ‘sakit’. Dalam kita punya maklumat hanya dalam tiga peratus sahaja. Dalam keseluruhan projek kita laksanakan, bayangkan ia bukan banyak sangat.

“Tapi projek yang siap setahun awal pun ada, orang tak cakap. Kebanyakan projek kita sebenarnya siap awal atau tepat masanya. Yang tiga peratus itu sahaja, tapi walaupun kecil, kita tumpu perhatian juga yang mana KSU buat jadual khas untuk kita pantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Jerayawara Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Korea Malaysia 2025 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Malaysia-Korea Bagi Memperkukuh Kerjasama Dalam Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan di sini hari ini.

Alexander berkata, jadual khas itu juga bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil selain memastikan pihak kontraktor mengikut tatakelola yang ditetapkan.

Katanya, kontrak yang dibuat juga melibatkan aspek undang-undang sekali gus projek dilaksanakan tidak boleh dihentikan atau ditamatkan sewenang-wenangnya.

“Punca (projek sakit) ini selalunya elemen-elemen dalam proses awal itu, mungkin tapak ada masalah dan bukan diurus satu agensi, melibatkan kerajaan negeri, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi lain.

“Kalau kita nak bina jalan, kita kena alihkan (contoh) utiliti sedia ada untuk lebarkan jalan itu yang memerlukan kerjasama daripada agensi dan pihak-pihak yang mempunyai utiliti.

“Memang kita akui banyak projek bermasalah kerana pengurusan atau kelemahan kewangan syarikat itu sendiri. Jadi ia pelbagai, kita tak boleh nak rangkum satu alasan sahaja. Sebab itu kita kena urus dengan terbaik,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, beliau mahu Kementerian Kerja Raya menyemak semula keseluruhan senarai projek di bawah kementerian itu dan memastikan setiap projek direkodkan dengan jelas, termasuk status kemajuan, pihak pelaksana dan masalah yang dikenal pasti.

Anwar turut menekankan keperluan untuk mengubah budaya kerja supaya pemantauan tidak dilakukan hanya selepas projek siap atau apabila masalah sudah timbul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI