BANGKOK – Tirai temasya sukan paling berprestij di Asia Tenggara, Sukan SEA Thailand 2025 akhirnya dibuka secara rasmi dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional Rajamangala, sebentar tadi.
Biarpun penganjuran edisi ke-33 ini dibayangi konflik ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja, semangat kesukanan ternyata mengatasi segalanya apabila puluhan ribu peminat membanjiri stadium sejak pukul 1.00 petang bagi menyaksikan detik bersejarah ini.
Upacara pembukaan yang turut dihadiri oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Ratu Suthida itu berlangsung dalam kawalan keselamatan yang ketat namun tetap meriah, selari dengan tema perpaduan yang diangkat tuan rumah iaitu ‘We Are One – Connected by the Sea’.
Thailand yang menganjurkan temasya ini buat kali ketujuh menyambut seluruh 10 negara dengan pembukaan luar biasa apabila mengubah wajah Stadium Rajamangala menjadi sebuah ‘lautan cahaya’ terutama 800 dron menghiasi langit Bangkok.
Menggunakan konsep pentas unik ‘Stage of Water’, lebih 800,000 liter air atau bersamaan satu pertiga kapasiti kolam renang Olimpik digunakan di atas pentas utama, mencipta visual menghubungkan naratif 11 negara Asia Tenggara.
Sorakan gemuruh bergema seluruh stadium apabila persembahan akuatik dan pertunjukan jet ski serta flyboard mengamit persembahan bersejarah tersebut.
Kehadiran jaguh Taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit yang menyempurnakan upacara nyalaan obor menerusi konsep ‘The First Green Flame’ pertama kali diperkenalkan itu terus memancarkan sinaran lampu ke langit bagi menandakan secara rasi temasya dwitahunan tersebut dibuka secara rasmi.
Kemeriahan malam pembukaan turut diserikan dengan persembahan bertenaga legenda Muaythai, Buakaw Banchamek serta penampilan istimewa bintang K-pop antarabangsa, BamBam menghiburkan ribuan penonton di stadium keramat tersebut.

Di sebalik kemegahan persembahan tuan rumah, kontinjen Malaysia turut mencuri tumpuan di stadium apabila tampil segak dan penuh karakter ketika perarakan masuk kontinjen.
Seramai 59 wakil negara menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh dua pembawa Jalur Gemilang, jaguh lompat kijang, Andre Anura Anuar dan ratu ski air, Aaliyah Yoong Hanifah.
Turut mengiringi adalah Ketua Kontinjen (CDM), Nurul Huda Abdullah bersama timbalannya, Datuk Kenny Goh, Nazmizan Muhammad dan Jivan Mohan serta atlet daripada sukan olahraga, ski air dan luncur ais.
Busana batik yang digayakan kontinjen negara disifatkan sebagai satu naratif visual tentang identiti Malaysia yang kaya tradisi.
Rekaan dengan asas warna putih itu melambangkan kesucian niat, disiplin dan fokus atlet. Ia diserikan dengan corak organik dalam tona biru pekat di bahagian bawah, menggambarkan ombak dan arus yang menjadi simbol daya tahan serta keteguhan mental wira negara.
Lebih unik, sempadan kuning yang mengikat motif biru membawa maksud cahaya harapan menuju podium, manakala sentuhan jalur merah abstrak di bahagian lengan menyerlahkan semangat juang ‘hati waja’ yang sinonim dengan kontinjen Malaysia.
Penampilan elegan tersebut dilengkapkan dengan pemakaian kasut tajaan Skechers, memberikan gaya moden dan sofistikated kepada barisan atlet negara.
Sukan SEA 2025 menyaksikan Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan di luar negara dengan kekuatan 1,652 anggota, merangkumi 1,138 atlet dan 514 pegawai.
Atlet negara bakal menggalas cabaran dalam 50 jenis sukan membabitkan 459 acara. Tumpuan pingat pastinya terarah kepada sukan tradisi seperti badminton, terjun, karate, wushu, bowling, olahraga, berbasikal, hoki, sepak takraw dan silat.
Edisi di Thailand ini juga dianggap medan ujian bagi mengukur kemampuan sebenar atlet negara sebelum Malaysia mengambil alih tugas sebagai tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2027. -KOSMO! ONLINE














