BANGKOK – Skuad bola baling lelaki negara membawa misi besar pada Sukan SEA Thailand 2025 dengan harapan berada di kedudukan podium, sekali gus menebus maruah sukan itu.
Biarpun tiba di bumi Thailand atas tiket Kategori B, status tersebut bukan penghalang, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat barisan pemain melakar kejutan edisi kali ini.
Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), Datuk Pandak Ahmad menegaskan, skuad negara telah menjalani persiapan rapi untuk berjuang habis-habisan di temasya tersebut.
Kem negara telah menjalani latihan ala ketenteraan di Pangkalan TLDM Lumut bagi memastikan ketahanan mental dan fizikal pemain pada tahap maksimum.
“Kita mempunyai misi besar di Thailand untuk menamatkan saingan pada kedudukan podium. Pasukan melakukan persiapan terbaik kali ini termasuk latihan fizikal dan mental yang keras.
“Hadir dalam Kategori B tidak lemahkan semangat pemain, sebaliknya mereka hadir dengan misi untuk menebus semula maruah sukan ini di Malaysia.
“Kami mahu padam episod duka di Sukan Asia 2018 (Jakarta-Palembang) dan buka cerita baharu dengan keputusan lebih baik di sini,” katanya.
Acara bola baling lelaki edisi ke-33 kali ini menyaksikan persaingan enam penjuru liga sepusinhan melibatkan tuan rumah Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Malaysia. – KOSMO! ONLINE














