fbpx
FARAH (kanan) pernah mencipta sensasi muncul juara dunia walaupun beraksi dalam keadaan tangan patah sebelum ini.

Sukan SEA: Silat siap sedia taktik licik Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad silat negara sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk isu ‘pengadilan berat sebelah’ yang sering memihak tuan rumah menjelang aksi Sukan SEA Thailand 2025 bermula Sabtu ini.

Menyedari sukan subjektif seperti silat sering terdedah kepada kontroversi, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aisyah Golbal Shah menegaskan, kem negara hadir ke Thailand dengan persiapan mental dan strategi ampuh.

Katanya, sejarah pernah membuktikan kelebihan sering memihak kepada negara penganjur, namun skuad negara hadir ke bumi Thailand dengan keyakinan tinggi.

“Malaysia tidak akan pergi ke Thailand dalam keadaan pasrah. Atlet telah diarahkan untuk mengambil mata secara bersih, mengelak pertarungan yang terlalu seimbang dan bijak agar pengadil tiada ruang memberikan kelebihan kepada pihak lawan,” katanya.

Tambahnya, pengurusan juga tidak akan berdiam diri jika wujud keputusan yang meragukan demi memastikan keadilan pertandingan terpelihara.

Bibi Aisyah juga yakin dengan kemampuan skuad yang dipantaunya sejak empat tahun lalu dan beranggapan Sukan SEA 2025 adalah medan terbaik atlet mempamerkan kehebatan masing-masing.

Antara yang menjadi perhatian adalah atlet pencak silat wanita negara, Nor Farah Mazlan yang turun beraksi dalam kelas B (50 hingga 55 kilogram) buat kali pertama setelah kelas asalnya tidak dipertandingkan pada edisi kali ini.

Menurut Bibi Aisyah, juara dunia itu menunjukkan peningkatan prestasi dalam tiga kejohanan percubaan dan diyakini mampu menghadirkan pingat jika momentum tersebut dikekalkan.

Dalam pada itu, sasaran awal skuad silat adalah dua emas, tiga perak dan dua gangsa, namun tidak menolak kemungkinan perubahan warna pingat termasuk perak bertukar kepada emas.

Sebagai rekod, seramai 22 atlet pencak silat negara telah menjalani kem latihan pusat di Cameron Highlands sebagai persiapan akhir sebelum membawa cabaran di Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI