ATLET woodball negara, Nor Rinda Ramli enggan menjadikan statusnya sebagai juara dunia adalah jaminan pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila acara itu membuka tirainya esok.
Ini disebabkan woodball baru kali pertama dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu yang mula dianjurkan pada 1959 di Bangkok ketika masih dengan nama Sukan SEAP.
Perubahan beraksi acara fairways juga menjadi antara faktor Rinda, 40, tidak mahu terlalu yakin berbanding kategori singles ketika menjuarai Piala Dunia Woodball di Shaoxing, China tahun lalu.
Begitupun, Rinda tekad memberikan persembahan terbaiknya bagi membuktikan Malaysia selayaknya dianggap sebagai kuasa woodball Asia Tenggara, sekali gus mengembangkan sukan itu di rantau ini.
“Sudah tentu ada tekanan bila turun dengan status juara dunia sebab ramai mengharapkan keputusan yang baik. Namun, saya anggap tekanan itu sebagai motivasi.
“Saya cuba fokus persediaan dan proses permainan, bukan semata-mata pada harapan orang lain. Saya juga banyak bergantung pada sokongan pasukan, jurulatih dan rakan sepasukan.
“Kami saling kuatkan semangat supaya tekanan itu bertukar menjadi tenaga positif. Kami berharap dapat memburu pingat buat kontinjen negara,” kata Rinda yang merupakan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu.
Secara keseluruhan, woodball menawarkan enam pingat emas dalam acara single stroke lelaki dan wanita; stroke berpasukan lelaki dan wanita serta fairways berpasukan lelaki dan wanita.
Sebagai rekod, Rinda yang mula menceburkan diri dengan sukan woodball empat tahun lalu, menakluk Piala Dunia Woodball 2024 selepas menewaskan wakil China, Lei Chensa menerusi kemenangan 5-3. – KOSMO! ONLINE














