BANGKOK – Tonggak petanque negara, Muhamad Hafizuddin Mat Daud bersedia memikul tanggungjawab besar apabila turun ke gelanggang acara singles lelaki Sukan SEA Thailand 2025 dengan misi mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu.
Pada edisi Kemboja 2023, kilauan emas disumbangkan oleh rakan Saiful Bahri Musmin, namun perubahan percaturan menyaksikan rakan sepasukannya itu tidak beraksi dalam acara individu.
Bagaimanapun, Hafizuddin diberi peranan baharu dalam acara triple campuran, sekali gus meletakkan beban dan harapan baharu memastikan Malaysia membawa pulang kejayaan.
Mengulas cabaran tersebut, Hafizuddin mengakui tugas mempertahankan gelaran juara jauh lebih sukar berbanding memenanginya buat kali pertama.
“Untuk memenangi emas buat kali pertama tidak terlalu susah, tetapi untuk pertahankan emas yang dimenangi oleh Saiful mungkin agak sukar.
“Namun, itu tidak menjadi penghalang kerana berdasarkan pengalaman, saya pernah beraksi dalam acara singles pada Sukan SEA 2015 dan 2017 yang mana kedua-duanya saya berjaya meraih emas,” katanya.
Pengalaman luasnya di pentas Asia Tenggara menjadi azimat penting menjelang penampilan ketiganya dalam acara individu tersebut.
“Ini kali ketiga saya main acara singles di Sukan SEA. Insya-Allah saya akan cuba kekalkan apa yang Saiful capai sebelum ini,” tambahnya.
Hafizuddin tiba di Bangkok dengan reputasi cemerlang selepas mengharumkan nama negara meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia Petanque di Rom, Itali pada September lalu.
Acara singles lelaki dijadualkan membuka tirai saingan di Universiti Valaya Alongkorn Rajabhat esok. – KOSMO! ONLINE














