BANGKOK – Skuad badminton berpasukan wanita negara terlepas peluang mara ke final Sukan SEA Thailand 2025 selepas tunduk 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir di Gymnasium 4, Universiti Thammasat, Pathum Thani semalam.
Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia menutup kempen berpasukan wanita dengan pingat gangsa, manakala Indonesia bakal menentang Thailand bagi perebutan pingat emas esok.
Begitupun, pingat gangsa itu mencapai sasaran pasukan dan mengulangi pencapaian 2019 di Manila, Filipina yang merupakan kali terakhir skuad berpasukan wanita negara meraih kejayaan itu.
Ia sekali gus memperbaiki prestasi tewas di suku akhir dalam dua temasya terdahulu yang menyaksikan Malaysia dimalukan Vietnam 1-3 sewaktu edisi Hanoi 2021 sebelum diabikan Filipina dengan kekalahan 0-3 pada kempen Phnom Penh 2023 di Kemboja.
Malaysia bermula kurang meyakinkan apabila perseorangan pertama, K. Letshanaa tewas 9-21, 10-21 kepada pemain No. 7 dunia, Putri Kusuma Wardani sebelum beregu utama, Pearly Tan–M. Thinaah mengikat kedudukan 1-1 selepas menundukkan Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum, 21-14, 17-21, 21-16 dalam pertarungan 59 minit.
“Apabila bermain dalam kejohanan seperti ini, kami perlu benar-benar fokus. Tidak kira sama ada Kejohanan Jelajah Dunia, Sukan Olimpik atau Sukan Asia, Sukan SEA tetap kejohanan besar dan istimewa, jadi kami mahu buat yang terbaik,” kata Thinaah selepas tamat perlawanan semalam.
Rentak positif itu diteruskan oleh perseorangan kedua, Wong Ling Ching selepas mencipta kejutan menewaskan pemain No. 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung, 22-20, 15-21, 21-16 dalam aksi sengit selama satu jam enam minit untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.
Langkah Malaysia untuk mengesahkan tiket ke pentas final tidak kesampaian apabila beregu kedua, Go Pei Kee–Toh Ee Wei gagal mengekalkan momentum sebelum tumpas 10-21, 9-21 kepada ranking ke-59 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari.
Segala harapan terletak di bahu perseorangan ketiga, Siti Zulaikha Azmi, namun pemain muda itu tidak mampu menghalang kebangkitan Mutiara Ayu Puspitasari yang mencatat kemenangan 18-21, 16-21 untuk memastikan Indonesia mara ke final dengan keputusan 3-2. – KOSMO! ONLINE














