CHONBURI – Pasukan bola sepak wanita Filipina kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan B Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Chonburi semalam.
Filipina yang beraksi dalam keadaan tertekan selepas tewas 1-2 kepada Myanmar sebelum ini, bangkit memecah kebuntuan pada minit ke-94 menerusi penyudah penyerang muda, Mallie Ramirez sekali gus menumbangkan juara bertahan itu.
Ketua jurulatih, Mark Torcaso mengakui debaran sukar digambarkan selepas pasukannya terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk meraih tiga mata penting.
“Jantung saya masih berdegup laju, tetapi saya sangat bangga dengan semua pemain. Ia kemenangan yang amat bermakna,” katanya.
Gol tunggal perlawanan tercipta bermula daripada situasi bola mati selepas Megan Murray dijatuhkan Thai Thi Thao di kawasan tengah, sebelum penjaga gol, Olivia McDaniel menghantar bola jauh ke dalam kawasan lawan.
Kapten pasukan, Hali Long berjaya menanduk bola tersebut ke arah kotak penalti dan percubaan awal Alessandrea Carpio ditepis penjaga gol Vietnam, Tran Thi Kim Thanh, namun Ramirez pantas menampan masuk bola muntah itu.
“Saya sangat bangga dapat melakukan sesuatu untuk pasukan dan negara. Saya nampak ruang dan berada pada masa yang tepat untuk menyudahkan peluang itu,” ujar Ramirez yang kini sudah mengumpul dua gol dalam kejohanan.
Kemenangan itu meletakkan Filipina di tangga kedua Kumpulan B di belakang Myanmar yang memenangi dua perlawanan, sekali gus memaksa mereka menang ke atas Malaysia pada aksi terakhir kumpulan, Khamis ini untuk mengesahkan slot separuh akhir. – AGENSI














